Pendaftaran kini dibuka. Daftar sekarang!

Festival Turath Islami Selangor 2025 kembali 12 Julai, Tampil Ulama Tersohor

Tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni menyampaikan kuliah dhuha dalam program Talaqqi Kitab Turath Islami Siri Talaqi Kitab Ihya’ Ulumuddin dan Mawaqif Al Mirjan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 27 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

SHAH ALAM, 6 JUN: Orang ramai dijemput menghadiri Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025 yang bakal berlangsung dari 12 hingga 20 Julai di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Festival anjuran Kerajaan Negeri itu menawarkan pelbagai program ilmiah termasuk daurah kitab, tausiah perdana, serta sesi perbincangan bersama tokoh ulama.

Antara tarikan utama edisi kali ini adalah pengajian dua karya besar iaitu Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir Jalalain, nukilan dua ulama tersohor, Jalaluddin as-Suyuti dan Jalaluddin al-Mahalli.

Dua tokoh ilmuwan terkemuka dunia Islam, Profesor Dr. Ali Jum’ah dan Dr. Akram Nadwi turut dijadual hadir bagi menyampaikan syarahan serta berkongsi kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu.

FTIS 2025 memperkenalkan dua acara baharu iaitu Munaqasyah Ilmiah dan Festival Buku Islami yang dijangka menarik minat golongan akademik, pelajar, serta peminat buku dan kajian Islam.

Mula dianjurkan pada 2023, Festival Turath Islami Selangor merupakan ilham Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang berhasrat menghidupkan pengajian Islam secara tradisional di negeri ini dan seterusnya berkembang ke seluruh negara.

Festival ini dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Selangor Research Institute, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Akademi Pemikiran Turath (APT), Pelita Dhihin, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Yayasan Restu.

Turut memberi sokongan adalah Menteri Besar Incorporation (MBI), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Akademi Tamadun Melayu (ATMA, UKM) serta Tourism Selangor.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi di https://turathislamiselangor.com.


Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.