Pendaftaran kini dibuka. Daftar sekarang!

Festival Turath Islami Selangor 2025 Kembali Julai ini, Tampil Tiga Karya Agung Islam Terjemahan IBDE.

SHAH ALAM, 12 JUN: Tiga karya agung Islam bakal jadi tumpuan utama Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025 yang berlangsung sembilan hari mulai 12 Julai.

Kitab Dalail al-Khairat yang menghimpunkan doa dan selawat penuh keindahan buat Nabi Muhammad SAW akan dikupas dalam festival ilmu anjuran Kerajaan Negeri.

Dua lagi kitab yang diketengahkan ialah Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir Al-Jalalain: Surah-surah Pilihan, hasil penulisan dua ulama tersohor Jalaluddin al-Mahalli dan Jalaluddin as-Suyuti.

Kesemua karya turath itu telah diterjemah dan diterbitkan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) bagi mendekatkan masyarakat dengan khazanah ilmu Islam secara lebih meluas dan difahami.

Dengan tema Mendalami Khazanah Warisan Islam, FTIS 2025 dijadual berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sehingga 20 Julai dan dijangka menghimpunkan para ilmuan serta pencinta ilmu dari dalam dan luar negara.

Lebih istimewa, dua tokoh ulama ternama iaitu Profesor Dr Ali Jum’ah dan Sheikh Dr Akram Nadwi turut hadir menyemarakkan festival dengan kepakaran dan penguasaan ilmu mereka yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Tahun ini, FTIS menampilkan 51 sesi pengisian dengan dua acara baharu Munaqasyah Ilmiah dan Festival Buku Islami dijangka menjadi tumpuan. Kedua-dua program ini memberi ruang interaksi ilmiah dan pilihan bahan bacaan bermutu kepada pengunjung.

FTIS merupakan ilham Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bertujuan langkah memperkasa semula tradisi pengajian Islam di Selangor dengan harapan ia berkembang ke seluruh negara.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman rasmi https://turathislamiselangor.com.


Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.