Shah Alam – Festival Turath Islami Selangor yang akan berlangsung pada 12 Julai hingga 20 Julai 2025 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bakal menjadi suntikan rohani buat masyarakat Islam, khususnya di Selangor.
Menurut Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari, program berkenaan bukan berfokuskan kefahaman terhadap ilmu tradisi agama semata-mata, tetapi juga keberkatan menerusi amalan para ulama seperti zikir, yang wajar diikuti oleh masyarakat sebagai suntikan rohani dalam jiwa.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa suntikan rohani menjadi keperluan penting bagi masyarakat kerana perkara tersebut ditunjangi oleh konsep ketuhanan dan keyakinan kepada Allah SWT dalam menghadapi zaman moden.
“Nilai Festival Turath Islami Selangor dan program keilmuan kita bukan hanya terletak pada ilmu pengetahuan dan tradisi Islam yang besar, tetapi berkatnya daripada para guru,” katanya ketika merasmikan Sambutan Nuzul al-Quran dan Pelancaran Festival Turath Islami Selangor 2025 di Dewan Megawati, Kediaman Menteri Besar Selangor, semalam.
“Sudah pasti hasrat besar penganjuran Festival Turath Islami Selangor dan pelaksanaan program di bawah kerajaan negeri berbentuk pengisian keagamaan pada peringkat negeri adalah untuk melengkapkan kefahaman masyarakat tentang agama Islam,” ujarnya lagi.
Program pengajian turath bukan sekadar memperkenalkan tokoh sepertimana program yang lepas, kita memperkenalkan Imam al-Ghazali, (lalu) kita terjemahkan buah fikirnya dalam Ihya’ ‘Ulum al-Din dan Imam al-Nawawi menerusi Hadith al-Arba‛in serta kitab lain, tetapi dalam penganjuran program tersebut, kita turut menyelitkan beberapa amalan masyarakat dari segi kebudayaan yang rapat dengan ajaran Islam dan zikir.
“(Sekiranya) ada (pihak) yang mahu membantu dan mengikuti program tersebut bersama-sama, saya raikan juga kerana program ini bukan program saya dan Kerajaan Negeri Selangor, tetapi program kita yang cinta akan Rasulullah SAW dan jalan kebenaran,” jelasnya.
Terdahulu, program tersebut turut disemarakkan dengan pengisian kuliah duha oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, YAD Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir berkaitan dengan kupasan kitab Dala’il al-Khairat dan Pengantar Ilmu Tafsir terbitan Institut Buku Darul Ehsan (IBDE) serta bacaan kitab Dala’il al-Khairat yang dipimpin oleh YBrs. Ustaz Ammar Farhan.

Sementara itu, Festival Turath Islami Selangor 2025 yang memasuki penganjurannya kali ketiga pada tahun ini bakal mengangkat kitab tumpuan Tafsir al-Jalalayn karya Jalal al-Din al-Mahalli dan Jalal al-Din al-Suyuti.
Festival tahunan tersebut turut melibatkan sebanyak 50 sesi pengajaran dan daurah pengajian kitab selama lapan hari yang menampilkan ulama terkemuka dari seluruh pelosok dunia.
Antaranya termasuklah Profesor Dr. Sheikh Abdul Fattah Abdul Ghani al-Awari (Mesir), Dr. Mohammad Akram Nadwi (India), Sheikh Dr. Ali Jum’ah (Mesir), Sheikh Muhammad al-Ruki (Maghribi), Sheikh Mufti Muhammad Taqi Usmani (Pakistan) dan Sheikh Mustafa al-Bahyawi (Maghribi).
Yang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Yang Berhormat (YB) Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), YBhg. Dato’ Johary Anuar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, YBhg. Dato’ Haji Mohd Fauzi Haji Mohd Yatim.

Jendela DBP merupakan pelantar penerbitan digital rasmi yang dibangunkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai inisiatif transformasi digital untuk memperluas capaian bahan terbitannya. Sebagai sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 bagi memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu, DBP kini memanfaatkan teknologi digital melalui Jendela DBP untuk menawarkan akses mudah kepada e-buku, jurnal, dan pelbagai kandungan ilmiah.