Pendaftaran kini dibuka. Daftar sekarang!

Menyubur Pengajian Islam, Festival Turath Islami Selangor 2025, 12 Julai Kupas Tafsir al-Jalalain

Ribuan jemaah memenuhi ruang solat utama Masjid Negeri di Shah Alam bagi menyertai Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor pada 31 Mei 2024. FOTO HAFIZ OTHMAN.

Usaha menjadikan Selangor sebagai pusat pengembangan ilmu warisan Islam terus dirancakkan dengan penganjuran Festival Turath Islami Selangor (FTIS) kali ketiga Julai depan.

Berlangsung sembilan hari mulai 12 Julai depan, acara anjuran Kerajaan Negeri memilih kitab Tafsir al-Jalalain dan Pengantar Ilmu Tafsir karangan Imam as-Suyuti sebagai topik pengajian.

Sebanyak tujuh surah utama daripada tafsir muktabar itu bakal dikupas dalam 20 sesi pengajian talaqqi oleh enam sarjana Islam dunia termasuk bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab yang mengesahkan kehadiran.

Ikuti wawancara wartawan ABDUL RAHIM SABRI bersama Pengerusi FTIS Ammar Gazali dan Pengarah Sekretariat FTIS Al-Mustaqeem M Radhi bagi mengulas persiapan dan penganjuran program berkenaan yang berlangsung sekitar Shah Alam.

Mengapa tema tafsir dipilih kali ini berbanding sebelum ini tasawuf dan hadis?

Ammar Gazali (AG): Festival ini unik. Kita raikan karya-karya besar dalam tamadun Islam. Tidak banyak acara sebegini diadakan dalam konteks Malaysia atau nusantara. Sebenarnya ia kesinambungan kepada projek Kerajaan Selangor iaitu terjemahan buku-buku atau kitab-kitab yang dianggap ‘canon’ dalam dunia Islam sebagai karya agung.

Pengerusi Festival Turath Islami Selangor, Ammar Gazali bercakap kepada Media Selangor ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam festival pertama, kita fokus kepada Ihya Ulumuddin (karangan Imam) Al-Ghazali dan terjemah buku-bukunya. Tahun kedua, kita fokus kepada Imam an-Nawawi menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meluaskan pengajaran Hadis 40. Kali ketiga, kita fokus kepada ilmu tafsir. Kita telahpun menterjemah kitab usul tafsir karangan Imam as-Suyuti. Jadi setiap tahun ada tema berbeza. Tema itu sebenarnya selaras matlamat. Maksudnya, kita melihat secara strategik tema atau kitab yang digunakan masyarakat di masjid dan surau di Selangor, mungkin juga seluruh Malaysia.

Apakah wawasan Dato’ Menteri Besar (MB) apabila beliau mencadangkan penganjuran FTIS?

AG: Idea besar itu datang daripada Dato’ Seri MB sendiri. Beliau mahu melihat pengajian atau keilmuan Islam bermula berdasarkan kitab ataupun teks. Berbanding sebelum ini orang lebih senang mendengar ceramah bersifat ringan, maksudnya tidak bersandar teks tertentu. Kerana itu, (kita) mencadangkan untuk mengadakan (festival) turath dahulu bagi memadukan antara pendidikan tradisional seperti pengajian pondok yang bersifat talaqqi dengan pengajian moden. Sebab sebelumnya, kita pernah mengadakan program dengan guru-guru pondok di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia supaya wujud keharmonian antara pengajian pondok, pengajian tradisional, dengan pengajian moden. Saya berpandangan Dato’ Seri MB melihat pendidikan Islam dengan lebih makro iaitu karya berusia ratusan tahun perlu digali semula untuk mengukuhkan pemahaman dan menjadi panduan dalam dunia moden.

Apakah perbezaan dan istimewa FTIS berbanding pengajian turath atau pengajian agama di negeri lain?

Al-Mustaqeem (MR): Di negeri lain mungkin lebih kepada festival atau perhimpunan yang menghimpunkan ulama tempatan. Ia tidak berasaskan kitab yang menjadi teras program. Ia mungkin menyampaikan kuliah atau ceramah. Berbanding FTIS, teras kita (berasaskan) kitab iaitu sistem pengajian tradisional. FTIS merayakan warisan dan pusaka Islam dari segi kelimuan. Tahun lepas kita buat pameran seni pembikinan kitab-kitab kuning. Tetapi tumpuan utama adalah kitab dan cara mengajar kitab. Sebab itu, sesi-sesi dalam FTIS adalah pengajian kitab. Di masjid, surau juga ada (tetapi) mungkin tidak banyak. Bezanya, kita bawa tokoh ulama dunia. Bawa Sheikh Ali Jum’ah yang orang Mesir pun susah dapat peluang mengaji. Kali pertama kita bawa beliau seminggu, setiap hari ada dua atau tiga sesi mengajar Ihya Ulumuddin. Jadi peserta bawa kitab Ihya Ulumuddin, tadah depan Sheikh Ali Jum’ah. Beliau baca dan hurai. Begitu juga tahun kedua, Hadis 40. Peserta boleh isytihar (claim) ‘kami belajar Hadis 40 Imam Nawawi langsung daripada Sheikh Ali Jum’ah’. Tahun ini, kita bawa lebih ramai tokoh supaya lebih banyak peluang belajar secara langsung. Kelebihan FTIS paling besar (adalah) mengaji secara talaqqi daripada tokoh ulama dunia.

Apakah sebenarnya rahsia hingga Sheikh Ali Jum’ah hendak menyertai FTIS buat kali ketiga?

MR: Sewaktu mula hantar undangan, kita berharap sahajalah. Beliau mahu datang sehari pun tidak mengapa sebab Sheikh Ali susah untuk beliau buat pengajian kitab, di luar negara apatah lagi. Tahun lepas, kita berjumpa perempuan Mesir (datang) semata-mata untuk (sertai) festival. Katanya, ini peluang belajar tadah kitab secara langsung dengan Sheikh Ali. Dia tidak dapat (peluang) di Mesir. Padahal Sheikh Ali dari Mesir. Sebab apa? Sheikh Ali ada sebut beliau sangat suka orang Malaysia terutama sifat lemah-lembut. Seingat saya, beliau sebut tidak ada masyarakat lain yang lebih lemah-lembut berbanding orang muslim di Malaysia.
Dari beberapa pertemuan Sheikh Ali Jum’ah dan Dato’ Menteri Besar, saya nampak Sheikh Ali sayang MB.
Saya juga ikut sewaktu tokoh ulama (lain) berjumpa Dato’ Seri MB, ulama-ulama macam suka (senang) dengan MB sebab buat festival turath. Pengajian turath bukan setakat festival kerana (kitab) Ihya Ulumuddin sejak festival pertama sampai hari ini masih diajar di masjid negeri di Shah Alam. Kita juga bawa Baba Ismail Sepanjang dari Patani.

Peserta mendengar Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin ketika Festival Turath Islami Selangor di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 2 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

AG: Kita bersungguh-sungguh dari segi penerbitan. Ada polisi jelas yang kita berkeinginan menerbitkan karya misalnya Al-Ghazali. Proses panjang tetapi kita yakinkan beliau kita akan habiskan terjemah Ihya Ulumuddin. Bukan mudah tetapi kita jadikan semangat festival turath yang dihadiri Sheikh Ali Juma’ah. Kita akan habis terjemah lebih kurang 40 jilid. Itu mungkin menyebabkan hubungan Sheikh Ali Jum’ah dan pengurusan festival turath lebih erat.
Kita menyakinkan ini projek besar. Kita ambil contoh Sheikh Ali-Jum’ah sendiri, beliau menghidupkan budaya talaqqi di Mesir. Dato’ Seri MB sebelum ini melawat mahasiswa Selangor di Al-Azhar misalnya membuahkan persahabatan dengan Kumpulan Ruwaq Jawi. Kumpulan ini kelompok mahasiswa Malaysia yang menghidupkan kembali bacaan kitab. Ini antara yang dikatakan anak didik Sheikh Ali Jum’ah. Jadi mungkin beliau melihat kesinambungan. Maksudnya mereka yang ada belajar di Mesir balik ke Malaysia, meluaskan lagi pengajian kitab.

MR (mencelah): Sehari selepas balik daripada festival pertama, beliau ada wawancara di TV Mesir. Beliau bercakap tentang festival ini. Sheikh Ali Jum’ah beritahu betapa beliau suka dengan program ini, sebab itu beliau ulang-ulang.

AG (mencelah): Saya nampak dampaknya besar. Kita melihat ulama serantau daripada Indonesia, Patani datang ke festival turath. Bagi mereka, itu satu peluang. Bukan mudah dapat menatap muka, duduk sekali mendengar ulasan ulama-ulama besar.

Mengapa pilih kaedah bertalaqqi dan kesannya dalam lapan atau sembilan hari berfestival?

AG: Apabila kita belajar tentang Islam atau terlibat dalam pengajian Islam, (ia) lebih bersifat ulasan daripada guru. Tidak ramai ambil sarjana muda pengajian Islam ataupun sarjana muda syariah, usuluddin di universiti. Paling lama pun empat tahun. Ada belajar tiga tahun setengah. Tapi empat tahun tidak sempat menghabiskan satu kitab. Kalau di tempat lain, di pondok misalnya, disiplin lebih ketat. Mereka menghabiskan kitab-kitab tertentu dengan kefahaman lebih baik. Pasti ada sanad bersambung antara ulama sampai ke murid atau pengkaji kitab. Itu yang kita hendak tunjuk. Bila buat festival, kita jemput orang dewasa, pelajar sekolah Jais (Jabatan Agama Islam Selangor). Pada peringkat sekolah, mendengar boleh memberi gambaran lebih menyeluruh tentang pengajian kitab ataupun pengajian Islam.

Apakah program selain pengajian talaqqi yang boleh menarik orang ramai sertai?

MR: Kita berharap orang datang untuk tadah kitab sebab ini peluang yang jarang sekali. Mengaji secara tradisional perlu masa lama. Salah satu matlamat adalah mempromosi pengajian talaqqi. Guru hurai boleh kata hampir setiap perkataan dalam kitab. Dunia talaqqi ini kita belajar ayat demi ayat, kalimat demi kalimat, perkataan demi perkataan daripada guru. Guru pula belajar dengan cara sama daripada gurunya. Contoh, Sheikh Ali Jum’ah. Kita belajar daripada Sheikh Ali Jum’ah tetapi daripada Sheikh Ali Juma’ah menyalur huraian daripada Sheikh Abdullah Siddiq Al-Ghumari. Dia pula salur huraian atau hadis daripada Sheikh Yasin Al-Fadani. Itulah mahalnya. Kali ini kita buat sesi hiwar atau sesi perbualan dengan ulama. Terbuka kepada umum. Di barisan hadapan, ulama-ulama nusantara yang bertanya secara langsung dengan tokoh Sheikh Ali Jum’ah, Dr Akram al-Nadwi, Sheikh Majd Makki, Sheikh Idris al-Fihri daripada Maghribi. Kita tengok ulama-ulama beraksi depan mata.

Siapakah tokoh-tokoh daripada Maghribi, India yang turut merayakan festival?

MR: Mereka sudah menyatakan persetujuan antaranya Sheikh Akram an-Nadwi. Beliau memiliki keluasan ilmu. Beliau dari India tetapi menetap di London. Beliau mendapat pendidikan awal di India. Beliau anak murid terbaik Maulana Sheikh Abu Hassan Ali an-Nadwi. Gurunya satu dunia kenal sebagai seorang yang luas ilmu. Selain itu, Sheikh Idris daripada Maghribi daripada benua Afrika. Mereka ada ciri-ciri keilmuan tersendiri. Ini sebenarnya gagasan Dato’ Seri MB yang mahu (ulama) Afrika, India, Mesir. Kita beri peluang untuk sesiapa untuk datang (festival), tidak payah pergi ke sana. Boleh ambil manfaat warisan keilmuan Islam, Sheikh Idris Al-Fihri, Timbalan Pengarah Universiti Qarawiyin. Sheikh Akram dari India dan mewarisi tradisi pengajian Islam di India tetapi sekarang mengajar di Oxford dan Cambridge dan menubuhkan kolej di United Kingdom (UK) yang menawarkan diploma secara talaqqi dan mendapat sambutan di UK. Semua tokoh ulama enam orang tidak termasuk tokoh nusantara. Kita juga mendapatkan tokoh usul fikah daripada Indonesia.

Kenapa pilih tujuh surah daripada Tafsir al-Jalalain, kitab Usul Tafsir dan Dalail Khairat?

MR: Kita pilih (Tafsir al-Jalalain) macam kita pilih kitab Ihya Ulumuddin, Hadis 40. Kitab ini terkenal di dunia Melayu. Kita pilih surah tertentu dalam Tafsir al-Jalalain sebab surah-surah ini orang Malaysia selalu baca. Orang boleh faham maksud (ayat surah) Yasin atau surah al-Waqi’ah yang dibaca. Kita tugaskan ulama dengan surah berbeza-beza. Sebab tafsir al-Jalalain ringkas. Ia memberi lebih banyak peluang kepada ulama untuk menghurai. Ini peluang keemasan. Bila bertemu dengan Dr Akram, beliau kata ia peluang untuk membawa pandangan ulama lain menjelaskan Tafsir al-Jalalain. Mengenai Dalail Khairat pula, ada cerita masyhur iaitu Raja Ali Haji sewaktu berjihad menentang penjajah, syahid dengan sebelah tangan memegang badik dan sebelah lagi memegang Dalail Khairat. Dalail Khairat ini kitab selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang paling banyak tersebar, dikatakan kedua terbanyak selepas al-Quran. Dulu menjadi amalan di Malaysia tetapi sekarang kurang. Di Indonesia, banyak diamal. Raja Ali Haji menentang penjajah. Penjajahan masih berlangsung tetapi dalam bentuk lain seperti cara hidup hedonisme. Jadi untuk jihad pada hari ini, kita patut amalkan untuk berdepan hidup yang terlalu duniawi.

AG: Program baharu yang kita cuba perkenal pada tahun ini adalah Festival Buku Islami. Program ini tidak jauh daripada lokasi, sekitar masjid negeri dan bersebelahan Kompleks Yayasan Restu. Kita anjur Pameran Al-Wahyu pada masa sama. Festival Buku Islami buat pertama kali menjemput penerbit buku bersifat Islam.

Harapan penganjuran FTIS kali ketiga tahun ini?

AG: Ini peluang berharga dengan sekumpulan ulama. Dari tahun ke tahun, ada penambahbaikan dari sudut kuantiti. Ini kali pertama ada kelompok enam ulama besar daripada pelbagai benua. Saya kira ini bukan peluang yang boleh dibiar begitu sahaja. Ambil peluang, pilih slot mana yang hendak hadir.

MR: Harapan saya semua orang datang mengaji. Ini juga harapan Dato’ Menteri Besar. Di Mesir, beliau pesan kepada pelajar Malaysia agar tolak tepi semua fahaman politik dan mengaji. Ini hasrat Dato’ Menteri Besar untuk menjadikan Selangor pusat pengembangan turath dan warisan Islam khususnya bidang keilmuan di nusantara.

Bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab ketika sesi Daurah kitab hadis 40 karya Imam An Nawawi sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 27 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.