Festival Turath Islami Selangor 2025 Ajak Rakyat Hayati Khazanah Warisan Islam

Kandungan tiga manuskrip ini mengupas ilmu aqidah, fiqah dan tafsir. Dua daripada tiga menggunakan kertas laid dari Eropah ini antara Manuskrip yang di pamerkan pada Pameran al-Wahyu pada Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

SHAH ALAM, 5 JUN: Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025 bakal kembali menyemarakkan semangat pencinta ilmu dan warisan Islam dengan pelbagai program pengajian.

Dengan tema mendalami khazanah warisan Islam, festival anjuran Kerajaan Negeri berlangsung dari 12 hingga 20 Julai di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Festival kali ini mengangkat kitab Pengantar Ilmu Tafsir dan karya agung Tafsir Jalalain yang ditulis oleh dua ulama terkemuka, Jalaluddin as-Suyuti dan Jalaluddin al-Mahalli.

Menurut Facebook Festival Turath Islami Selangor, peserta dijangka akan menikmati pelbagai aktiviti ilmiah termasuk pengajian daurah, tausiah perdana dan sesi perbincangan bersama tokoh-tokoh ulama terkemuka.

Antara ulama yang akan hadir adalah Profesor Dr. Ali Jum’ah dan Dr. Akram Nadwi, yang terkenal dengan kepakaran dan penguasaan ilmu agama yang mendalam.

FTIS 2025 turut memperkenalkan dua acara baharu iaitu Munaqasyah Ilmiah dan Festival Buku Islami yang dijangka menarik minat para ilmuan dan pencinta ilmu dari pelbagai lapisan masyarakat.

Festival turath adalah ilham Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang berhasrat menghidupkan pengajian Islam secara tradisional di negeri ini dan seterusnya berkembang ke seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi di https://turathislamiselangor.com.


Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.