Hikmah Warisan Islam
    • Utama
    • Tentang
    • Jadual
    • FTIS 2025

Tentang

Festival Turath Islami Selangor 2026

Penganjuran Festival Turath Islami Selangor (FTIS) yang bermula sejak tahun 2023 merupakan manifestasi iltizam berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam menghidupkan dan memartabatkan khazanah turath Islam sebagai teras pembangunan insan dan masyarakat. Bertitik tolak daripada gagasan YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, festival ini digerakkan sebagai usaha strategik untuk menyemarakkan kembali minat masyarakat terhadap kitab-kitab turath yang menjadi lambang kegemilangan tradisi keilmuan Islam serta sumber kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran dunia moden.

Turath Islam atau warisan intelektual Islam merupakan khazanah ilmu yang tidak ternilai, merangkumi pelbagai disiplin seperti tafsir, hadis, fekah dan tasawuf. Ia bukan sekadar peninggalan sejarah, bahkan merupakan sumber rujukan hidup yang membimbing umat Islam dalam memahami wahyu, menegakkan hukum syarak serta membina akhlak dan peradaban.

Sepanjang tiga edisi terdahulu, FTIS telah berjaya mengangkat tokoh-tokoh ulama muktabar dan mahakarya mereka, iaitu Imam al-Ghazali melalui karya Ihya Ulumuddin (2023), Imam al-Nawawi dengan Al-Arbaʿin al-Nawawiyah (2024), serta Imam Jalaluddin al-Suyuti bersama Tafsir al-Jalalain (2025). Penganjuran ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan, menghimpunkan ribuan peserta dari seluruh Malaysia serta penyertaan antarabangsa dari Indonesia, Brunei, Singapura dan selatan Thailand. Kejayaan tersebut membuktikan bahawa masyarakat masih dahagakan pengisian ilmu yang berakar pada tradisi keilmuan Islam yang sahih.

Bagi edisi tahun 2026, FTIS bertemakan “HIKMAH WARISAN ISLAM” akan mengangkat tokoh besar tasawuf Islam, iaitu Ibnu Athaʿillah As-Sakandari, bersama mahakaryanya Al-Hikam al-Ataʿiyyah. Kitab ini merupakan antara karya tasawuf paling berpengaruh dalam sejarah Islam, mengandungi himpunan kalam hikmah yang mendalam berkaitan tauhid, tawakkal, keikhlasan, adab dengan Allah serta perjalanan rohani menuju makrifatullah.

Pemilihan Al-Hikam sebagai fokus FTIS 2026 amat signifikan dalam konteks semasa yang menyaksikan masyarakat berhadapan tekanan kehidupan moden, kegelisahan jiwa dan kekosongan makna. Hikmah-hikmah yang terkandung dalam karya ini menawarkan panduan rohani yang seimbang antara syariat dan hakikat, zahir dan batin, amal dan ihsan. Melalui pengisian ilmiah dan rohani yang dirancang, FTIS 2026 diharap dapat menjadi wadah penyucian jiwa, pengukuhan tauhid serta pemerkasaan dimensi kerohanian masyarakat.

Dengan kesinambungan kejayaan penganjuran sebelum ini, FTIS 2026 diyakini mampu memperkukuh kedudukan Selangor sebagai peneraju dalam usaha memartabatkan warisan keilmuan Islam di peringkat nasional dan serantau, sekali gus menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berteraskan nilai-nilai Islam.

YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari

Dato’ Menteri Besar Selangor

Hikmah Warisan Islam
Hakcipta terpelihara © Laman sesawang rasmi Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2026 ini diselenggara oleh IBDE Ilham Sdn. Bhd. (1218324-T) (Inisiatif Buku Darul Ehsan) bagi pihak Sekretariat Turath Islami Selangor, Selangor Darul Ehsan.
  • Utama
  • Tentang
  • Jadual
  • FTIS 2025
Start typing to see results or hit ESC to close
turathselangor festivalturath Turath FTIS2025 Berita
See all results