Kitab Tafsir Jalalain, Jalaludin al-Suyuti Tarikan Festival Turath Islami Selangor

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) pada Sambutan Nuzul al Quran dan Pelancaran Festival Turath Islami Selangor 2025 di Shah Alam, hari ini. - NSTP/FAIZ ANUAR

SHAH ALAM: Kitab tafsir Jalalain karangan Al-Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Jalaludin al-Suyuti antara tarikan utama pada Festival Turath Islami Selangor 2025 pada 12 hingga 19 Julai depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha menyemarakkan pengajian kitab Islam secara tradisional menerusi penganjuran kali ketiga itu.

“Tahun ini kita mendapat maklum balas sangat positif, bukan sahaja peserta bertambah tetapi juga membariskan tokoh ulama terbilang pelbagai benua yang akan memimpin sesi pengajian kitab dalam bidang tafsir.

“Antaranya Mufti Muhammad Taqi Usmani, bekas Mufti Agung Mesir Al-Imam al-Allamah Dr Ali bin Jum’ah; ulama tafsir dari Maghribi, Syeikh Mustafa al-Bahyawi dan bekas Rektor universiti tertua di dunia iaitu Universiti Qurawiyin di Maghribi, Syeikh Muhammad al-Ruki; Dekan Cambridge Islamic College Syeikh Mohammad Akram al-Nadwi dan beberapa tokoh ulama dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Festival kali ini akan berlangsung lapan hari iaitu dari 12 Julai hingga 19 Julai di Majlis Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dengan pengisian hampir 50 sesi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Sambutan Nuzul al-Quran dan Pelancaran Festival Turath Islami Selangor 2025 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, penganjuran festival itu adalah antara usaha kerajaan negeri memantapkan pengisian kerohanian umat Islam.

“Kita cuba merangkumkan beberapa elemen dalam ilmu Islam, bukan sahaja untuk memantapkan pemikiran tetapi juga menjadikan mental fizikal kita baik dan sempurna, kecekalan hati dan iman.. itu yang dikatakan suntikan kerohanian.

“Kitab Tafsir Jalalain adalah himpunan selawat. Setiap hari kita berselawat tetapi dengan panduan guru atau pembimbing, kita akan dapat memahami inti pati pengisiannya dengan betul dan teratur,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan terbuka kepada umum terutama pelajar sekolah pondok dan tahfiz serta penuntut universiti.

“Pengisian utama lebih kepada sesi bacaan kitab dan kupasan, penjelasan tafsir surah terpilih dari kitab Tafsir Jalalain, Munaqasyah Ilmiah ulama antarabangsa dan nusantara serta syarahan perdana.

“Turut diadakan pameran Al-Wahyu dengan bahan menarik mengenai institusi pondok dan pesantren di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura, selain Pesta Buku Islami Selangor,” katanya.


Berita Harian merupakan sebahagian daripada kumpulan Media Prima Berhad. Sebagai akhbar arus perdana berbahasa Melayu yang telah wujud sejak 1957, Berita Harian kini beroperasi di bawah Media Prima News & Editorial Operations (MPB News), iaitu cabang berita cetak dan digital milik Media Prima.