Selangor Terus Usaha Semarak Kerohanian: Inti Pati Kitab Tafsir Jalalain Bantu Bentuk Kecekalan Hati dan Iman

Amirudin (tiga dari kiri) bersama EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah (empat dari kiri); Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir (dua dari kiri) serta Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad (empat dari kanan) melancarkan kitab Dalail al-khairat dan Kitab Penghantar Ilmu Tafsir pada Sambutan Nuzul al-quran dan Pelancaran Festival Turath Islami Selangor 2025 di Shah Alam, semalam.

Shah Alam: Kitab Tafsir Jalalain karangan Al-imam Jalaluddin al-mahalli dan Jalaludin al-suyuti, antara tumpuan utama dalam Festival Turath Islami Selangor 2025 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, pada 12 hingga 20 Julai depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pada penganjuran kali ketiga itu kerajaan negeri akan meneruskan usaha menyemarakkan pengajian kitab Islam secara tradisional.

Katanya, pada tahun ini, kerajaan negeri mendapat maklum balas yang sangat positif kerana bukan sahaja peserta bertambah, malah tokoh ulama terbilang dari pelbagai benua akan memimpin sesi pengajian kitab dalam bidang tafsir.

Antara mereka, Mufti Muhammad Taqi Usmani; bekas Mufti Agung Mesir Al-imam al-allamah Dr Ali bin Jum’ah; Ulama Tafsir dari Maghribi, Syeikh Mustafa albahyawi dan bekas Rektor universiti tertua di dunia, Universiti Qurawiyin di Maghribi, Syeikh Muhammad alruki; Dekan Cambridge Islamic College Syeikh Mohammad Akram al-nadwi dan beberapa tokoh ulama dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Festival kali ini akan berlangsung selama lapan hari, bermula 12 Julai dan akan diisi dengan hampir 50 sesi,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Sambutan Nuzul al-quran & Pelancaran Festival Turath Islami Selangor 2025 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Seksyen 7 di sini, semalam.

Amirudin berkata, penganjuran festival itu antara usaha kerajaan negeri memantapkan kerohanian umat Islam yang menyertainya. “Kita cuba merangkum beberapa elemen dalam ilmu Islam, bukan sahaja memantapkan pemikiran kita malah menjadikan mental fizikal kita baik dan sempurna, kecekalan hati dan iman… itu yang dikatakan suntikan kerohanian.

“Sebab itu kitab Tafsir Jalalain ini adalah himpunan selawat, kita setiap hari berselawat… tetapi dengan panduan guru atau pembimbing ini, kita akan dapat memahami intipati pengisiannya dengan betul dan teratur.

“Bagi saya, ini dapat menangani dan memberi jawapan kepada masalah kecelaruan masyarakat yang berdepan pelbagai cabaran hari ini,” katanya.

Beliau berkata, sasaran penyertaan dalam penganjuran festival ini kepada umum terutama pelajar sekolah pondok dan juga tahfiz, penuntut universiti.

“Pengisian utama lebih kepada sesi bacaan kitab dan kupasan, penjelasan tafsir surah terpilih dari kitab Tafsir Jalalain; Munaqasyah Ilmiah ulama antarabangsa dan Nusantara serta Syarahan Perdana.

“Seiring dengan festival pada tahun ini juga akan dianjurkan Pameran Alwahyu yang menyediakan bahan menarik mengenai institusi pondok dan pesantren di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura, selain Pesta Buku Islami Selangor,” katanya.


Berita Harian merupakan sebahagian daripada kumpulan Media Prima Berhad. Sebagai akhbar arus perdana berbahasa Melayu yang telah wujud sejak 1957, Berita Harian kini beroperasi di bawah Media Prima News & Editorial Operations (MPB News), iaitu cabang berita cetak dan digital milik Media Prima.