Pendaftaran kini dibuka. Daftar sekarang!

Dana RM1 juta tubuh Akademi Turath Selangor, perkasa program talaqqi al-Quran

EXCO Agama Dr Fahmi Ngah (tengah) dan Pengerusi Persatuan Institut Tahfiz Selangor Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa bersama barisan pelajar tahfiz pada Majlis Penutup Ijtimak Huffaz Selangor Kali Ke-18 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam pada 23 Mac 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

SHAH ALAM, 30 MEI: Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk melaksana program Talaqqi Al-Quran secara berguru menerusi Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS).

EXCO hal ehwal Agama Islam berkata program menumpukan pengajaran teknik bacaan yang telah ditetapkan oleh Majlis Syeikh Maqari Negeri Selangor untuk diterapkan kepada pengajar Al-Quran di negeri ini.

“Dana yang sama juga akan digunakan untuk penubuhan Akademi Turath Negeri Selangor sebagai suatu usaha untuk menjadikan negeri sebagai sebuah pusat khazanah keilmuan Islam.

EXCO Agama Dr Fahmi Ngah ditemui media pada majlis penutup Ijtimak Huffaz Selangor Kali Ke-18 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam pada 23 Mac 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“Kerajaan Negeri berharap dengan usaha ini umat Islam di Selangor dapat mempelajari teknik pembacaan dan mesej Al-Quran dapat dihayati dengan lebih baik,” kata Dr Fahmi Ngah menerusi kenyataan.

Pada masa sama, Fahmi Ngah memberitahu Kerajaan Negeri juga telah meluluskan penubuhan Majlis Syeikh Maqari Negeri Selangor sebagai badan berautoriti untuk mengembangkan lagi pembacaan Al-Quran dengan standard yang tinggi.

“Dana awal sebanyak RM 302,000 diluluskan untuk melantik 21 orang pakar Al-Quran. Selain itu, melatih keupayaan tenaga pengajar Al-Quran dengan cara pembacaan yang sempurna serta alunan bacaan yang baik,” jelasnya.

Kerajaan Selangor turut menganjurkan Festival Turath Islami sejak 2023 bagi menghidupkan pengajian Islam secara tradisional di negeri ini dan seterusnya berkembang ke seluruh negara.

Pada 2023, ribuan peserta termasuk dari luar negara menadah kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam Al-Ghazali manakala pengajian kitab Hadis 40 susunan Imam Nawawi pada 2024.

Pengajian kitab Islam diteruskan tahun ini yang dijadual pada 11 hingga 19 Julai depan. Program siri ketiga itu tertumpu kepada bidang tafsir al-Quran melalui kupasan dua kitab tafsir terkenal berjudul Tafsir Jalalain dan Usul Tafsir, karangan Imam Jalaluddin al-Suyuti.


Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.