SHAH ALAM: Festival Buku Islami (FBI) 2025 menghimpunkan 30 penerbit, lebih 1,000 judul buku berkaitan Islam bermula hari ini hingga Ahad ini.
Pengarahnya, Ahmad Saifuddin Amran, berkata Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi tempat pilihan FBI 2025 sebagai satu usaha bagi menghidupkan semula budaya membaca dan memperkukuh kecintaan terhadap ilmu dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, jualan buku bersempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS) 2025 itu bukan sekadar medan jual-beli buku, malah menjadi wadah pertemuan penulis, penerbit, pencinta buku dan seluruh warga yang dahagakan santapan rohani serta intelektual.
Selain pengajian Islam dan zikir, katanya, satu komponen turath ialah karya Islam, buku Islam.
“Ini kali pertama kita buat secara besar-besaran membabitkan 30 pempamer, penerbit dan penjualan buku dengan lebih 1,000 judul buku terpilih.
“Semua 30 penerbit buku berkaitan Islam yang berbeza, iaitu kita pilih berdasarkan penerbitannya, jenis bukunya, kandungan buku yang disajikan kepada pembaca dan pembeli yang hadir. Penerbit juga kita saring dan semak kualiti penghasilan buku mereka,” katanya di sini semalam.
Ahmad Saifuddin berkata, antara penerbit yang menyertai FBI 2025 ialah Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), iaitu penerbit yang bergiat aktif dalam menterjemah karya turath antara karya warisan klasik Islam, di samping karya agung dunia.
Katanya, IBDE dan Pelita Dhihin dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor serta Pustaka Raja Tun Uda ialah penganjur bersama FTIS.
Beliau berkata, buku lain yang turut serta ialah Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Iman Publications, Jejak Tarbiah dan Galeri Ilmu.
“Antara buku yang menjadi tumpuan ialah buku yang diterbitkan khas untuk pengajian FTIS 2025 seperti karya Imam Jalaluddin as-Suyuti berkaitan tafsir, buku terjemahan Syeikh Dr Mohammad Akram Nadwi yang juga seorang penceramah di sini,” katanya.
Peroleh banyak manfaat
Sementara itu, seorang pengunjung, Guru Besar Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Sentosa Fasa 1 Hulu Selangor, Shahlawati Salleh ketika ditemui berkata, banyak manfaat yang diperoleh di festival berkenaan terutama mengenai tafsir surah Al-Kahfi, selain menambah ilmu pengetahuan berkaitan Islam.
Katanya, beliau akan membawa pelajarnya ke program itu tahun depan sekiranya festival diteruskan pada 2026.
Bagi penuntut Akademi Darul Ilmi, Sungai Petani, Iman Adrian Farish, 14, beliau bersama-sama beberapa rakan sekelas bertuah kerana pentadbiran sekolah memberi peluang menyertai festival itu.
“Saya teruja dan akan mengikuti festival ini hingga hari terakhir kerana ada ulama tersohor dari luar negara akan hadir,” katanya.
Bekas guru, Sulaiman Sidek, 83, dari Kuala Selangor, berkata peluang keemasan dapat menghadiri majlis ilmu itu amat dihargai kerana mencari ilmu ialah kewajipan dalam agama Islam.
Seorang pesara polis, Nor’aini Ab Rahman, 70, berkata, sanggup datang menaiki pengangkutan awam dari Kuala Lumpur bagi mendapatkan ilmu agama secara bersemuka dengan tokoh ilmuwan Islam yang ternama dan tidak pernah melepaskan peluang menyertai festival berkenaan setiap tahun.

Berita Harian merupakan sebahagian daripada kumpulan Media Prima Berhad. Sebagai akhbar arus perdana berbahasa Melayu yang telah wujud sejak 1957, Berita Harian kini beroperasi di bawah Media Prima News & Editorial Operations (MPB News), iaitu cabang berita cetak dan digital milik Media Prima.