Pupuk Ilmu, Bina Wahdatul Fikr Hadapi Cabaran Pelbagai Penjuru – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan ulama dan ilmuwan Islam sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS) 2025 di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Shah Alam. - Foto ihsan Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Cabaran dihadapi umat Islam daripada pelbagai penjuru perlu ditangani dengan menumpukan usaha memupuk nilai ilmu yang membina wahdatul fikr atau kesatuan pemikiran yang mempersatukan, bukan memecahkan umat dengan adu domba dan cerca.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dengan kuasa yang ada, kerajaan mendukung tradisi menggali warisan ilmu Islam seperti berlaku di Shah Alam dan Putrajaya.

“Kerajaan Persekutuan dan negeri komited memberi galakan dan dukungan dalam menyegarkan wacana keilmuan bagi manfaat dan pencerahan buat umat.

“Saya singgung pengalaman kecil menekuni kitab Munyatul Musolli karangan Sheikh Daud al-Fatani yang membahaskan soal tatacara solat namun turut menyentuh perihal siyasah dan tatakelola yang baik.

“Dalam bab Tatmim al-Fa’idah, Sheikh Daud bukan sahaja menyentuh mengenai solat, namun jauh daripada itu mengaitkan dengan prinsip keadilan, yang pernah saya ulas dalam sebuah jurnal, (https://www.criticalmuslim.io/justice-for-a-praying-person),” katanya dalam status Facebooknya, malam tadi.

Status itu sempena beliau meraikan Sheikh Dr Mohammad Akram Nadwi, Sheikh Dr Majd Makki, Sheikh Prof Dr Idris al-Kharshafi, Sheikh Dr Adi Hidayat dan ulama serta tuan guru dari seluruh negara termasuk dari Patani di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Shah Alam dekat sini, sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS) 2025.

Anwar berkata, beliau menzahirkan penghargaan atas pertemuan, nasihat dan doa ulama serta guru pondok yang datang jauh ke Shah Alam.

“Semoga acara begini dapat memberi manfaat dan barakah kepada kita semua di Malaysia,” katanya.

FTIS 2025 bermula 12 Julai lalu sehingga esok menampilkan 18 tokoh ilmuwan Islam dan ulama terkemuka yang mengupas Kitab Dalail al-Khairat, iaitu himpunan doa dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW, selain Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir al-Jalalain.

Penganjuran kali ketiga itu berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dengan sebanyak tiga sesi pengajian dijalankan setiap hari.

Sempena FTIS 2025 juga, Festival Buku Islami (FBI) 2025 turut julung kali diadakan yang menghimpunkan 30 penerbit dan lebih 1,000 judul buku berkaitan Islam yang terpilih akan dipamerkan hingga esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan ulama dan ilmuwan Islam sempena Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS) 2025 di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, Shah Alam. – Foto ihsan Facebook Anwar Ibrahim

Berita Harian merupakan sebahagian daripada kumpulan Media Prima Berhad. Sebagai akhbar arus perdana berbahasa Melayu yang telah wujud sejak 1957, Berita Harian kini beroperasi di bawah Media Prima News & Editorial Operations (MPB News), iaitu cabang berita cetak dan digital milik Media Prima.