Shah Alam – Penganjuran edisi keempat Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2026 kembali mengangkat tema “Hikmah Warisan Islam” dengan menyasarkan kehadiran melebihi 50 ribu orang pengunjung bagi mendalami karya agung kitab al-Hikam al-‘Ata’iyyah.
Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa festival berprestij tersebut bakal berlangsung dari 13 hingga 20 September 2026, bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
“FTIS lahir daripada satu keyakinan, bahawa warisan keilmuan Islam bukan sekadar khazanah sejarah yang kita simpan, tetapi sumber ilmu yang kekal relevan membimbing kita menghadapi cabaran zaman,” ujar beliau menerusi satu hantaran rasmi.
Beliau menjelaskan bahawa penganjuran edisi kali ini memberikan fokus khusus kepada tokoh besar tasawuf, Ibn ‘Atha’illah al-Sakandari (w. 709H) menerusi naskhah tersohor beliau, al-Hikam al-‘Ata’iyyah.
“Kitab ini menghimpunkan hikmah tentang tauhid, keikhlasan, tawakal dan penyucian jiwa, sesuatu yang saya kira amat diperlukan masyarakat kita hari ini yang berdepan dengan tekanan hidup dan krisis nilai,” tambah beliau lagi.
Pengangkatan naskhah tersebut sekali gus meneruskan kesinambungan tradisi festival ini sejak tahun 2023 yang sebelum ini pernah membedah karya agung dunia Islam seperti Ihya’ ‘Ulum al-Din, al-Arba‘in al-Nawawiyyah dan Tafsir al-Jalalain.
Sepanjang lapan hari festival berlangsung, pengunjung berpeluang menimba ilmu secara terus daripada tokoh ulama muktabar antarabangsa dan tempatan, antaranya termasuklah Syeikh Prof. Dr. Ali Jum‘ah dari Mesir, Syeikh Prof. Dr. Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri dari Maghribi, Ustaz Dr. Adi Hidayat dari Indonesia, serta Ustaz Wadi Annuar dari Malaysia.
Mengulas tentang rekod penyertaan lalu, YAB Dato’ Seri Amirudin menyatakan, “Sepanjang tiga edisi lalu, FTIS telah menarik ribuan peserta dari seluruh negara serta delegasi dari Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Selatan Thailand yang membuktikan bahawa sifat dahagakan ilmu itu masih subur dalam masyarakat Islam.”
Sehubungan dengan itu, beliau mengundang seluruh masyarakat untuk bersama-sama mendaftar dan hadir memeriahkan FTIS 2026.
Kredit Foto: Facebook Festival Turath Islami Selangor

Jendela DBP merupakan pelantar penerbitan digital rasmi yang dibangunkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai inisiatif transformasi digital untuk memperluas capaian bahan terbitannya. Sebagai sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 bagi memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu, DBP kini memanfaatkan teknologi digital melalui Jendela DBP untuk menawarkan akses mudah kepada e-buku, jurnal, dan pelbagai kandungan ilmiah.

