Penganjuran Festival Turath Islami Selangor kali ketiga tahun ini bakal mengupas dua kitab utama iaitu pengantar ilmu tafsir dan Tafsir al-Jalalain karangan Imam Jalaluddin as-Suyuti.
Tafsir karangan ulama kurun ke-10 Hijrah itu antara rujukan utama masyarakat Melayu dan rantau nusantara. Huraian ringkas dan mudah difahami menjadi faktor naskhah itu popular dalam pengajian tafsir.
Ribuan peserta tempatan dan antarabangsa dijadual bertalaqqi serta mendengar kupasan tujuh surah pilihan dalam Tafsir al-Jalalain, bacaan rutin umat Islam, pada 12 Julai hingga 20 Julai.
Berbanding satu kitab sebelum ini, festival tadah kitab depan ulama terkenal dan berwibawa dijadual berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Wartawan Abdul Rahim Sabri menemu bual penterjemah Muhamad Hakim Ismail dan Wan Ahmad Zuhairi Yaacob yang mengupas intipati kitab Tafsir al-Jalalain dan pengantar Usul Tafsir baru-baru ini.
Apakah Tafsir Al-Jalalain dan kepentingannya?
Muhamad Hakim (H): Tafsir al-Jalalain dikarang dua tokoh besar iaitu Jalaluddin al-Mahalli dan Jalaluddin as-Suyuti. Imam as-Suyuti berasal dari Mesir, lahir pada 894 Hijrah dan wafat pada 911 Hijrah. Beliau terkenal dalam pelbagai bidang atau mutafannin. Seorang ensiklopedik dan seorang polymath, dia dikuasai banyak bidang (ilmu). Ulama Syeikh Said Mamduh menyenarai karangan Imam as-Suyuti menjangkau 700 kitab dalam pelbagai bidang. Jadi, bukan orang yang calang-calang, bukan kaleng-kaleng. Berkenaan Tafsir al-Jalalain, ia dikarang Imam Jalaluddin al-Mahalli iaitu guru kepada Imam as-Suyuti. Kedua-dua tokoh ini digelar Jalaluddin. Kalau lihat sejarah Islam, ulama-ulama ada gelarannya. Ada Syamsuddin, ada Jalaluddin. Imam al-Mahalli dikelas sebagai Jalaluddin, Imam as-Suyuti pun sebagai Jalaluddin. Imam al-Mahalli menulis tafsir bermula selepas surah al-Isra’ ke belakang hingga tamat juzuk ke-30. Kemudian, apabila anak murid lihat karya itu (gurunya) belum sempurna, dia sempurnakan. Jadi, dari surah al-Baqarah sampai Al-Isra’ disempurnakan Imam as-Suyuti mengikut laras bahasa dan gaya tafsiran al-Mahalli. Maksudnya, beliau tidak buat sendiri. Beliau ikut cara tok gurunya. Itu adab Imam as-Suyuti.
Apakah signifikan Tafsir al-Jalalain dan Usul Tafsir?
H: Terkenal bukan sekadar di Tanah Arab tetapi juga di nusantara termasuk Malaysia dan Indonesia. Kenapa kitab Tafsir Al-Jalalain penting? Pertama, ia ringkas. Kedua, ia menggabungkan dua metode (kaedah) tafsir. Kita sebut tafsir bil ma’thur. Dalam tafsir itu, riwayat hadis, sahabat dan tabiin dimasukkan. Tafsir bil ra’y (iaitu) tafsir dengan akal. Dia gabung dua-duanya. Itu penting. Sekarang ada sebahagian tafsir hanya (bersifat) tafsir bil ma’thur, ada tafsir bil ra’y sahaja. Tafsir al-Jalalain ringkas dan mudah. Orang awam pun boleh baca berbanding kitab-kitab tafsir yang lebih besar. Contohnya Tafsir Ibn-Kathir (atau) Tafsir al-Qurtubi berjilid-jilid. Tafsir al-Jalalain mungkin dua ke empat jilid. Jadi mudah untuk hadam. Realitinya di Tanah Melayu mahupun nusantara, tidak banyak tafsir Melayu. Kitab hadis, fikah banyak. Tafsir tidak.
Wan Ahmad Zuhairi (W): Bila ringkas, para ulama menyesuaikan huraian untuk dijadikan alat mengajar dan belajar. Kitab ini bukan sahaja untuk dibaca tetapi jadi alat pengajian. Ini berlaku di nusantara. Ada kitab tafsir (lain) tetapi tidak dijadikan alat pembelajaran. Tafsir Ibn-Kathir ada 10 jilid tetapi tidak jadi alat pengajian. (Ulama) Syeikh Abdul Qadir Hussain ceritakan huraian Tafsir al-Jalalain ringkas, sesuai dijadikan alat pengajian. Sebab gurulah yang mensyarah ringkasan supaya anak murid nampak keluasan lafaz-lafaz kalam Allah.
Mengapa tujuh surah sahaja dipilih untuk diterjemah?
H: Surah itu ialah al-Fatihah, al-Kahfi, ar-Rahman, al-Waqi’ah, Yasin, al-Hujurat dan al-Mulk. Bila sebut surah-surah pilihan, inilah yang rutin dibaca. Kalau tidak sebulan sekali, kita baca seminggu sekali. Apakah signifikan pilihan itu? Pertama, kita guna pakai pembelajaran dalam festival. Kalau terjemah semua, bagaimana hendak belajar secara bersepadu. Kita pun (belajar) dalam seminggu. Tujuh surah ini rutin. Surah al-Waqi’ah selepas subuh, al-Mulk sebelum tidur. Surah ar-Rahman pun kita biasa dan surah al-Fatihah jelaslah. Kenapa kita terjemah? Sebab berapa sahaja dari (kalangan) kita yang baca dan faham serta mampu tadabbur. Apabila pilih surah biasa, kita lebih menghargai, mudah dalami dan rasai kenikmatan pembacaan al-Quran. Itulah fungsi tafsir. Kalau kita baca setiap minggu selepas ini, ada tafsir sebelah tangan. Sebelah tangan al-Quran, sebelah tangan tafsir. Ini nilai tambah dalam masyarakat.
Bagaimana proses terjemahan dari peringkat awal hingga akhir?

W: Awalnya, kami diamanahkan empat surah iaitu al-Kahfi, Yasin, al-Waqiah dan al-Mulk. Kemudian ada permintaan ditambah kepada tujuh. Jadi untuk memanfaat sepenuhnya tempoh program festival tujuh ke lapan hari ataupun lebih, beberapa surah ditambah. Apabila ada penambahan, penerbit cari orang lain untuk terjemah sebab Ustaz Hakim ada komitmen, maka jumpalah saya. Disebabkan hasil terjemahan saya sebelum ini tentang usul tafsir, jadi saya terima.
Apakah cabaran menterjemah surah-surah itu?
W: Saya terjemah dua surah. Ustaz Hakim lima. Saya terjemah surah al-Hujurat dan al-Waqi’ah. Cabaran paling utama, kena tahu natijatul ulum iaitu kesimpulan semua ilmu agama. Dalam tafsir, ia himpunkan ilmu bahasa Arab, ilmu nahu, sorof (tatabahasa), ilmu balaghah (ilmu sastera Arab). Ada juga komponen ilmu lain (contoh) ilmu qiraat. Jadi, apabila kita terjemah kitab tafsir, kena tahu perkara tersirat dari penulisan Imam as-Suyuti. Contohnya, beliau memasukkan perbahasan dari segi ilmu bahasa Arab, kita kena tahu bahasa Arab. Kena tahu ilmu nahu, sorof dan sebagainya. Imam as-Suyuti guna pendekatan ilmu qiraat, ada khilaf ilmu qiraat tetapi kita yang hendak terjemah, kena teroka, buat rujukan silang. Saya buka kitab i’rab al-Quran, kitab qiraat, kitab tafsir lain untuk memahami apakah yang dimaksudkan Imam as-Suyuti. Inilah cabaran menterjemah kitab yang dianggap natijatul ulum.
Bila waktu sesuai untuk siapkan proses terjemahan? Apa cabaran utama?
W: Paling segar waktu pagi. Dalam jam 8 atau selepas sarapan. Kalau ada kuliah (agama), tidak sempatlah. Dalam pukul 10 pagi baru mula terjemah. Kemudian malam sebelum tidur, dalam dua jam setengah barulah sambung balik. Sebelum tidur maksudnya, sambung terjemah jam 10 malam sampai tengah malam. Bersengkang matalah. Ini antara cabaran. Dari segi tempoh bukan kami sahaja melalui suasana macam itu tapi boleh dikatakan semua penterjemah melalui proses bersengkang mata.

H: Betul-betul jangka masa terjemahan lebih kurang lapan hingga sembilan bulan. Bermula? Seingat saya Julai tahun lepas. Sekarang masuk Mei. Dari sudut cabaran, sebenarnya banyak. Pertama, dari segi pembahagian masa sebab saya ada tugas hakiki (sebagai) pensyarah di Darul Quran. Kedua, saya tengah menulis (tesis) peringkat sarjana. Ketiga, terjemah tafsir. Maksudnya tiga (kerja) jalan sekali. Itu memerlukan kudrat besar, banyak tenaga dan masa. Selain itu, saya bukan bidang tafsir. Saya di Universiti al-Azhar dulu dalam bidang akidah dan biasa terjemah kitab-kitab akidah. Jadi bila kita biasa dengan bidang kita, beberapa istilah ada dalam kepala. Kalau ada perbahasan, kita boleh terjemah dan hurai tetapi saya tidak begitu biasa dengan penulisan tafsir, juga istilah tafsir. Jadi itu antara kesusahan untuk memahami metode walaupun Imam as-Suyuti mengarang dalam pelbagai bidang tapi tafsir ada gaya penulisannya. Tidak boleh terjemah dengan gaya akidah. Kena terjemah gaya orang tafsir. Jadi sepanjang saya terjemah dan proses suntingan, banyak perubahan. Yang kita buat macam sudah elok tapi tidak macam gaya Imam as-Suyuti. Ubah lagi. (Terjemahan) macam tidak kena kehendak tafsir, ubah lagi. Itu antara cabaran.
W: Kita kena tengok (kitab) syarahan imam-imam lain. Bagaimana mereka buat syarahan ke atas Tafsir al-Jalalain. Ada (kitab) Hasyiah Sowi ‘ala Tafsir al-Jalalain yang mensyarah Tafsir al-Jalalain. Ada (kitab) hasyiah-hasyiah lain. Jadi, kita faham, kita boleh tahu Imam as-Suyuti hendak maksudkan macam mana.
Apakah yang dirasai ketika terjemah surah-surah itu?
H: Pertama dari sudut gaya penterjemahan atau masa hendak terjemah. Saya kena berurusan beberapa perkara. Pertama, dengan turath Imam as-Suyuti (iaitu) bagaimana hendak faham gaya bahasa. Itu ambil masa yang agak panjang. Kedua, bagaimana mahu interaksi dengan terjemahan al-Quran sebab hendak ambil terjemahan siapa? Ambil terjemahan Pimpinan ar-Rahman karangan Abdullah Basmeh. Bagaimana hendak interaksi dengan terjemahan Syeikh Basmeh sebab beliau ulama tahun 60-an. Jadi bila terjemah gaya 60-an, bagaimana hendak faham gaya terjemahan dia pula. Saya dengan editor dan Ustaz Wan (Ahmad Zuhairi) berusaha memurnikan terjemahan Syeikh Abdullah Basmeh. Ambil masa. Kita kena faham di Malaysia ataupun nusantara, kita hanya rujuk satu terjemahan. Ini mungkin satu-satunya turath Melayu tentang terjemahan al-Quran. Kitab hadis banyak, kitab fikah banyak tapi tafsir tidak. Yang kita ada Syeikh Abdullah Basmeh dan Prof Hamka. Kadang-kadang (terfikir) kenapa (Abdullah) Basmeh terjemahan macam ini sedangkan (kelihatan) tidak berapa kena. Bila kita rujuk, rupanya ada dalam Tafsir al-Jalalain. Syeikh Abdullah Basmeh pun rujuk Tafsir al-Jalalain untuk beri konteks pemahaman dalam terjemahan al-Quran. Ketiga, interaksi dengan kalam Allah. Ini lagi besar. Kita bukan terjemah kalam manusia, ini kalam Allah. Jadi bila terjemah Tafsir al-Jalalain sekali gus terjemah sekali al-Quran, kita rasa beberapa elemen yang susunan kalimat dalam Al-Quran sangat-sangat mengujakan. Antara contoh sewaktu saya terjemah surah al-Kahfi. Surah ini memuatkan tiga kisah besar iaitu Ashabul Kahfi, Nabi Musa dengan Khidir dan Zulkarnain. Ketika terjemah, kita dapat gambaran situasi macam real (sebenar). Sebelum ini kita baca Ashabul Kahfi ceritanya sekian-sekian. Sebenarnya ada perincian yang Imam as-Sayuti masukkan. Maksudnya kalau bahasa sekarang ‘mind blown’, tidak pernah terfikir pun macam ini. Jadi itu menyebabkan saya rasa teruja untuk terjemah.
Mengapa perlu belajar Tafsir al-Jalalain dan ilmu usul tafsir dalam festival kali ini?
H: Pengajian tafsir di Malaysia sangat terhad. Ilmu tafsir daripada ulama-ulama ataupun tok guru di Malaysia, kebanyakannya diajar di pondok. Dalam festival ini, kita bukan sekadar jemput ulama-ulama, tok guru-tok guru daripada Malaysia, kita jemput ulama-ulama besar kontemporari. Yang mengajar kitab tafsir, al-Quran melalui tafsir ulama besar Imam as-Suyuti dan Imam al-Mahalli. Ini peluang yang jarang berlaku. Semoga ia menjadi batu loncatan untuk lebih faham al-Quran bukan sekadar membaca (atau) hanya tengok dan ulas sendiri. Itu penyakit orang sekarang, baca al-Quran, pandai-pandai tafsir. Sekarang kita bawa autoriti dalam bidang keilmuan Islam, kupas surah-surah yang kita biasa baca. Kita tidak ajar surah al-Baqarah ataupun surah panjang-panjang.
W: Dalam festival ini, buat julung kali satu kombinasi hampir sempurna. Kita bukan sahaja memahami tafsir al-Quran tapi juga bagaimana memahami tafsir itu melalui pengantar ilmu tafsir. Festival ini menjadi daya tarikan kepada pengunjung untuk ‘tenggelam’ dalam lautan tafsir kalam Allah.


Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.