Pendaftaran kini dibuka. Daftar sekarang!

Pameran 10 Manuskrip Kitab Sekolah Pondok Dalam Festival Turath

Pengunjung melihat manuskrip al-Quran tulisan tangan berusia ratusan tahun di Ruang Pameran Al-Wahyu, Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sekurang-kurangnya 10 manuskrip kitab turath tulisan tangan berusia lebih 100 tahun dipapar dalam Pameran Al-Wahyu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor antara 5 hingga 20 Julai.

Bertema Funduq: Legasi Kebitaraan Alam Melayu, pameran sempena Festival Turath Islami Selangor (FTIS) kali ketiga itu mengetengah kepentingan dan perkembangan institusi pondok dan pesantren di nusantara.

Manuskrip itu dalam bentuk paparan foto daripada Pondok Pesantren Langitan di Surabaya Indonesia, sebuah institusi pendidikan yang melahirkan ramai ulama termasuk tenaga pengajarnya Kiai Haji Ahmad Sholeh dan pendiri Nahdathul Ulama Kiai Haji Hashim Asyari. Beberapa karya yang ditulis dan disalin Kiai Haji Ahmad Sholeh, antara pemimpin utama pesantren itu juga dipamer dalam bentuk gambar.

Karya itu berkaitan kajian ilmu al-Quran berjudul Maqulatul ‘Asyr yang disalin pada 1286 H dan kitab ‘Aqidatul Awam berkaitan ilmu tauhid yang disalin antara 1292H dan 1298H. Kedua-duanya berusia lebih 150 tahun. Manuskrip berkenaan dalam tulisan jawi.

Rata-rata manuskrip meliputi pelbagai cabang ilmu termasuk tatabahasa Arab, fikah, ilmu al-Quran, akidah, tasawuf dan himpunan doa dalam bentuk syair atau qasidah dalam bahasa Arab, Jawa atau Indonesia.

“Sekolah pondok asas kepada punca ilmu. Sekolah pondok mengajar membaca, menulis dan berfikir, yang menjadi asas pendidikan alam Melayu.

“Sekolah pondok mengajar kemahiran menulis daripada situ lahirkan manuskrip-manuskrip alam Melayu. Tanpa sekolah pondok tak ada manuskrip Melayu,” kata kurator Pameran Al-Wahyu Ts Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria pada 25 Jun.

Satu katalog gambar 20 lagi kitab turath yang disimpan di pesantren berkenaan turut diperaga kepada pengunjung pameran. Bahan itu disusun supaya menepati naratif penceritaan perihal pondok dan pesantren bagi memudahkan kefahaman pengunjung.

Di pintu masuk ruang pameran, pengunjung berpeluang menyaksikan replika sekolah pondok di Malaysia berukuran 1 meter x 1 meter. Mengambil inspirasi institusi itu di Jitra, Kedah, ia mengandungi tiga komponen iaitu ruang pengajian, rumah guru dan asrama pelajar.

Pengunjung melihat gambar ulama yang lahir dari sekolah pondok di Ruang Pameran Al-Wahyu, Masjid Negeri, Shah Alam pada 28 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Rumah pelajar ini ringkas. Ada satu ruang di situlah belajar, tidur ataupun memasak. Ia tidak tersusun tak macam rumah teres sekarang. Ia sama sahaja sama ada di Thailand, Indonesia atau Malaysia,” kata Dr Ros Mahwati.

Terdapat empat panel besar bagi menyorot sejarah dan ciri-ciri pelajar pondok di negara-negara Asean itu. Turut dipamer, garis masa perkembangan pendidikan pondok di Malaysia pada abad ke-19 hingga kini.

Ulama besar

Foto berserta keterangan tokoh ulama yang lahir daripada sistem pondok di Malaysia, Indonesia dan Singapura bermula dari Aceh, Indonesia pada abad ke-17 sebelum berkembang ke kawasan lain juga dipapar kepada orang ramai.

Mereka antaranya ulama besar Aceh Sheikh Abdul Rauf Singkil lahir pada 1615 M, Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur (1940). Selain itu, ulama Singapura yang mendirikan madrasah untuk pelajar muslim pada abad ke-19 Sheikh Hassan Al-Attas (1832). Tokoh tempatan pula, Sheikh Abdul Malik Abdullah atau Tok ku Pulau Manis (1656), Haji Muhammad Yusof Ahmad atau Tok Kenali (1879) dan Allahyarham Datuk Dr Haron Din (1940).

Walaupun berpendidikan sekolah pondok tradisional, mereka dipilih atas sumbangan jasa meliputi bidang perubatan, pendidikan, politik dan sosiobudaya dalam masyarakat masing-masing.

Turut dipamer, pemakaian pelajar pondok di Malaysia iaitu berkain pelikat, berbaju Melayu atau berjubah, berkopiah atau berserban manakala santri dari Indonesia pula berbaju takwa, bersongkok dan berkain sarung.

“Bentuk ikatan serban daripada Pasir Tumboh, Kelantan dan daripada Kedah turut digayakan,” kata Dr Ros Mahwati, bekas kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Di pentas pula, potongan Gurindam 12 yang mengandungi nasihat kehidupan karangan Raja Ali Haji, seorang ilmuan Bugis (1808M) yang mendapat pendidikan agama di Pulau Penyengat, Riau juga diperaga.

Empat video dokumentari pendek berkaitan lawatan pasukan penyelidik diketuai Dr Ros Mahwati ke tiga pesantren di Langitan, Tebuireng dan Lirboyo, semuanya di Surabaya bakal ditayang.

Pameran tersebut dijadual berlangsung di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, bersebelahan lokasi utama FTIS iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selain pameran, FTIS juga buat julung kali mengadakan Festival Buku Islami di masjid berkenaan pada 17 Julai hingga 20 Julai. Konsert Alunan Mahabbah dan Darul Ehsan Berselawat pula dijadual berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 19 Julai dan keesokannya.


Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.