Pendaftaran kini dibuka. Daftar sekarang!

Pendidikan Pondok Kekal Relevan di Era Digital, Bawa Ilmu Sahih dan Adab

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi (tengah) melawat ke tapak pameran pada Majlis perasmian pameran kesenian Islam Al-Wahyu bertajuk Funduq: Legasi kebitaraan Alam Melayu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam pada 10 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

SHAH ALAM, 10 JULAI: Sistem pendidikan pondok dan pesantren kekal relevan walaupun berdepan zaman moden dan digitalisasi yang semakin mencabar.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata, pendidikan tradisional itu bukan sekadar menekankan ilmu agama, tetapi turut membentuk akhlak dan adab pelajar secara menyeluruh.

“Pendidikan pondok menghidupkan budaya bertalaqqi, iaitu pembelajaran secara langsung bersama guru di mana pelajar boleh bertanya, berbincang dan berfikir secara kritikal.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi (tengah) melawat ke tapak pameran pada Majlis perasmian pameran kesenian Islam Al-Wahyu bertajuk Funduq: Legasi kebitaraan Alam Melayu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam pada 10 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Pendekatan ini selari dengan kaedah pembelajaran moden yang mengutamakan pembelajaran aktif, bukan hanya menerima maklumat secara pasif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pameran Al-Wahyu bertemakan pendidikan pondok dan pesantren di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, hari ini.

Menurutnya, tradisi talaqqi atau turath turut diterapkan di institusi moden seperti Universiti Malaya melalui program pengajian turath yang membawa guru-guru tradisional mengajar di kampus.

Mohd Najwan berkata, pendidikan pondok juga memberi penekanan kepada sanad ilmu, iaitu rantaian ilmu yang bersambung secara sahih daripada guru-guru terdahulu hingga ke Rasulullah SAW.

Orang ramai yang hadir pada Majlis perasmian pameran kesenian Islam Al-Wahyu bertajuk Funduq: Legasi kebitaraan Alam Melayu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam pada 10 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Dalam dunia moden yang sarat dengan limpahan maklumat, pendekatan sanad ini sangat relevan kerana memastikan ilmu yang diterima adalah sahih dan berautoriti.

“Ia mendidik pelajar supaya bertanggungjawab dan teliti dalam menyampaikan ilmu, bukan sekadar mengambil maklumat secara sembarangan,” katanya.

Tambah beliau, pendidikan pondok bukan sekadar menyampaikan isi kandungan kitab, tetapi mengutamakan pembentukan peribadi pelajar melalui akhlak dan adab yang dipelajari secara langsung daripada guru.

“Saya percaya inilah yang cuba dibawa oleh Kerajaan Negeri melalui kepimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Najwan Halimi (kanan) memukul gong sebagai gimik perasmian pada Majlis perasmian pameran kesenian Islam Al-Wahyu bertajuk Funduq: Legasi kebitaraan Alam Melayu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam pada 10 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Walaupun ramai bergantung kepada teknologi hari ini, kita tidak boleh melupakan pendidikan tradisional yang diwarisi daripada para ulama, asatizah dan datuk nenek moyang yang bersambung hingga kepada Rasulullah SAW,” katanya.

Majlis perasmian itu disempurnakan secara simbolik apabila Najwan memukul gong sebanyak tiga kali sebagai tanda pembukaan rasmi pameran.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Mohd Asyaharim Abdul Latiff, Pengarah Sekretariat Festival Turath Islami Selangor, Al-Mustaqeem M Radhi dan Kurator Pameran Al-Wahyu, Ts Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria.


Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.