Dala’il al-Khairat dan Pengantar Ilmu Tafsir: Kitab Pilihan dalam Festival Turath Islami Selangor 2025

Shah Alam – Dala’il al-Khairat dan Pengantar Ilmu Tafsir terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menjadi kitab pilihan dalam program Festival Turath Islami Selangor yang bakal diadakan pada tahun ini.

Pelancaran kedua-dua judul kitab tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari bersempena dengan majlis Pelancaran Festival Turath Islami Selangor 2025 bertemakan “Mendalami Khazanah Warisan Islam” di Dewan Megawati, Kediaman Menteri Besar Selangor, semalam.

Pelancaran dua buah kitab terbitan baharu IDBE, iaitu Dala’il al-Khairat dan Pengantar Ilmu Tafsir.

Kitab Dala’il al-Khairat setebal 192 halaman itu memuatkan himpunan lafaz selawat yang disusun oleh ulama Maghribi, iaitu Imam Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli menerusi riwayat Sheikh Dr. Ali Jum’ah dan penerbitannya menggunakan tulisan khat tangan serta gaya ragam hiasan Melayu Patani.

Selain itu, kitab Pengantar Ilmu Tafsir yang memiliki 120 halaman pula merupakan terjemahan bab “Ilm al-Tafsir” dalam kitab Itmam al-Dirayah li al-Qurra’ al-Nuqayah karya Imam Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman al-Suyuti yang membahaskan latar belakang penurunan sesuatu ayat al-Quran, pengelasannya serta kaedah mentafsirkannya.

Kitab Dala’il al-Khairat (kiri) dan Pengantar Ilmu Tafsir (kanan). (Sumber: Ihsan IBDE).

Sementara itu, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapan perasmiannya berkata, kitab Dala’il al-Khairat edisi IBDE tersebut mempunyai pengenalan yang menceritakan sejarah amalan pembacaannya selama ratusan tahun termasuklah pengajarannya pernah dilaksanakan di Masjid al-Nabawi, Madinah, sebelum ini.

Tambah beliau lagi, pemilihan kitab Dala’il al-Khairat disebabkan kekuatan tradisinya di alam Melayu dan Tuhfat al-Nafis telah menukilkan bahawa sejarah Raja Haji Fisabilillah yang signifikan memegang kitab berkenaan pada saat kematiannya.

Itulah sebuah pencirian dan kehidupan yang saya anggap hampir sempurna apabila kita berjuang dalam kehidupan mempertahankan sesuatu kedaulatan, tetapi pada masa yang sama mempertahankan keimanan dan terus melazimkan zikir.

Pelancaran kedua-dua judul kitab tersebut bertujuan untuk menghidupkan kembali amalan tradisi yang memperkukuh rohani dan kefahaman umat Islam terhadap ilmu tafsir sebagai tunjang kepada perkembangan intelektual masyarakat.

Yang turut serta dalam majlis pelancaran kedua-dua judul buku tersebut ialah Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Yang Berhormat (YB) Dr. Mohammad Fahmi Ngah; Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, YAD Dato’ Setia Prof. Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, YBhg. Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan), YBhg. Dato’ Johary Anuar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, YBhg. Dato’ Haji Mohd Fauzi Haji Mohd Yatim.


Jendela DBP merupakan pelantar penerbitan digital rasmi yang dibangunkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai inisiatif transformasi digital untuk memperluas capaian bahan terbitannya. Sebagai sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 bagi memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu, DBP kini memanfaatkan teknologi digital melalui Jendela DBP untuk menawarkan akses mudah kepada e-buku, jurnal, dan pelbagai kandungan ilmiah.