Shah Alam — Warisan keilmuan Islam disemarakkan sekali lagi dalam Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025, yang bakal berlangsung pada 12 Julai hingga 20 Julai 2025 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Berkonsepkan tema “Mendalami Khazanah Warisan Islam”, festival ini menghimpunkan ulama tersohor dunia, mempersembahkan khazanah tafsir, serta mengangkat kesenian dan budaya Islam dalam landskap Nusantara.
Penganjuran kali ketiga ini melibatkan kerjasama strategik Selangor Research Institute, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Pelita Dhihin dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), dengan sokongan pelbagai institusi ilmu dan budaya tanah air.
Menurut penganjur, festival ini bukan sekadar himpunan acara, bahkan suatu gerakan pencerahan ummah yang mahu menyuluh jalan warisan dengan cahaya ilmu.
“Kami ingin membawa masyarakat kembali kepada khazanah agung — tafsir, selawat, manuskrip dan kitab — sebagai warisan hidup yang membimbing masa depan,” ujar jurucakap IBDE.
Selama sembilan hari penganjuran, FTIS 2025 menawarkan 14 acara utama yang melibatkan lebih daripada 51 sesi ilmu dan rohani, termasuklah bacaan kitab, kuliah khas, talaqqi, daurah, serta bacaan Dalail al-Khairat.
Segala pengisian berlangsung dalam suasana ibadah di ruang utama Masjid Negeri Selangor.
Antara tokoh ulama yang bakal menyampaikan pengajian, kuliah dan daurah sepanjang FTIS 2025 termasuklah:
- Sheikh Prof. Dr. Abdul Fattah Abdul Ghani al-Awari — tokoh tafsir, ulum al-Quran dan qiraat dari Universiti al-Azhar, Mesir.
- Sheikh Dr. Idris al-Fasi al-Fihri — ulama Maghribi yang aktif dalam pengajian fiqh, usul fiqh, tafsir, hadis dan fatwa.
- Sheikh Dr. Mohamad Akram Nadwi — pengarang kitab al-Wafa’ bi Asma’ yang mengambil masa selama dua dekad untuk menyiapkan kitab 43 jilid yang menghimpunkan sebanyak 10 ribu orang periwayat hadis daripada kalangan wanita.
- Sheikh Dr. Majd Makki al-Halabi – ulama tersohor dari Halab, Syria ini digelar al-Mufassir al-Musnid kerana berkepakaran dalam tafsir dan hadis.
Kesemua tokoh tersebut merupakan ahli dalam bidang tafsir al-Quran, sejajar dengan fokus FTIS 2025 terhadap warisan tafsir Imam Jalaluddin as-Suyuti, khususnya karya Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir al-Jalalain, yang turut diterjemahkan serta diterbitkan oleh IBDE bagi keperluan festival ini.
Turut diadakan ialah Pameran al-Wahyu: Funduq, sebuah pameran seni Islam yang menghimpunkan warisan peradaban Melayu-Islam melalui seni khat, manuskrip dan estetika wahyu.
Pameran tersebut berlangsung di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor (SIIAC), Bangunan Yayasan Restu, dari 5 Julai hingga 20 Julai 2025, antara pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Pengunjung juga dapat menyertai Daurah Menyalin al-Quran, iaitu aktiviti khas yang menawarkan pengalaman mendalam terhadap proses penyalinan mushaf secara tradisional dan dijalankan setiap hari sepanjang pameran.
FTIS 2025 turut mempersembahkan Festival Buku Islami, yang menjadi medan pertemuan pembaca dan penerbit dengan pelbagai terbitan klasik dan kontemporari dalam wacana Islam, sejarah dan tamadun.

Jendela DBP merupakan pelantar penerbitan digital rasmi yang dibangunkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai inisiatif transformasi digital untuk memperluas capaian bahan terbitannya. Sebagai sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 bagi memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu, DBP kini memanfaatkan teknologi digital melalui Jendela DBP untuk menawarkan akses mudah kepada e-buku, jurnal, dan pelbagai kandungan ilmiah.