SHAH ALAM, 7 JULAI: Festival Turath Islami Selangor (FTIS) kali ketiga bakal berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 12 hingga 20 Julai ini.
Majlis yang menampilkan seramai 18 tokoh agama dan ulama tersohor akan mengupas Kitab Dalail al-Khairat, yang menghimpunkan doa dan selawat penuh keindahan buat Nabi Muhammad SAW.
Dua lagi kitab yang akan dihurai ialah Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir Al-Jalalain: Surah-surah Pilihan, hasil penulisan dua ulama tersohor Jalaluddin al-Mahalli dan Jalaluddin as-Suyuti.
Sebanyak tiga sesi pengajian dijalankan setiap hari bermula jam 9 pagi manakala sesi petang antara jam 4.45 petang hingga 8.45 malam.
Festival tersebut turut dimeriahkan dengan pameran sekurang-kurangnya 10 manuskrip kitab turath tulisan tangan berusia lebih 100 tahun di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.
Pada 2023, kitab Ihya Ulumuddin tulisan Hujatul Islam Imam al-Ghazali dikupas dalam festival tersebut manakala naskhah Hadis 40 Imam Nawawi dipilih pada tahun berikutnya. Ribuan peserta termasuk dari luar negara memenuhi masjid negeri untuk mengikuti majlis ilmu itu.
Penganjuran festival tersebut adalah iltizam Kerajaan Negeri untuk menghidupkan khazanah turath Islam dalam kehidupan masyarakat.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman rasmi turathislamiselangor.com



Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.