SHAH ALAM: Penganjuran program keilmuan Islam, syarahan, daurah dan kerohanian dalam Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS) 2025 bukan sahaja menghidupkan dan mewujudkan tradisi ilmu yang kukuh di Selangor, malah membugarkan semula tradisi itu.
Pengarah FTIS 2025, Al-Mustaqeem M Radhi, berkata secara keseluruhannya, sesi pengajian dilaksanakan dalam FTIS 2025 berdasarkan sumber warisan benar dan teruji.
“Sebagai contoh, tahun ini FTIS 2025 mengetengahkan Tafsir al-Jalalain karangan Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Imam Jalaluddin as-Suyuti. Kitab tafsir ini menjadi rujukan besar dalam tafsir al-Quran dan sudah bertahun-tahun digunakan dalam pengajian.

“Bagi program kerohanian, kita mengetengahkan kitab Dalail al-Khairat yang menjadi amalan di Nusantara ini. Kisah Raja Haji Fi Sabilillah yang mangkat dalam perang melawan Belanda sudah masyhur apabila di tangan kanannya tergenggam kitab Dalail al-Khairat ini.
“Ini bermakna, tradisi keilmuan dan kerohanian ini sudah kukuh, khusus di Selangor dan FTIS 2025 membugarkan semula warisan ini,” katanya kepada BH.
Al-Mustaqeem berkata, pihaknya dapat melihat sambutan luar biasa pengunjung dan peserta sejak hari pertama penganjuran FTIS 2025 bermula Sabtu lalu.
“Sambutan begitu memberangsangkan dengan kehadiran dari serata negeri dan luar negara seperti Pattani, Yala dan wilayah lain Selatan Thailand. Ada juga peserta dari Brunei, Indonesia dan Singapura. Mereka datang daripada pelbagai latar belakang pekerjaan dan umur,” katanya.
Bawa ke setiap daerah
Pada masa sama beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk terus menghidupkan festival ini ke setiap daerah di Selangor dan ke negeri lain.
“Tentu sekali warisan Islam ini harus disebarluaskan ke serata Selangor khasnya dan ke seluruh Malaysia, amnya supaya manfaat ini dapat dirasai semua.
“Ini selaras dengan kepercayaan kami bahawa kemelut kemodenan hari ini dan konflik kejiwaan melanda masyarakat kita boleh disembuhkan dengan pengajian ilmu yang sahih,” katanya.
Mengulas mengenai Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), beliau berkata, syarikat itu terbabit dalam kerja terjemahan dan penerbitan kitab atau buku berkaitan, merentasi pelbagai bidang seperti agama, falsafah, sejarah dan sastera.
“Khusus bagi tradisi Islam, IBDE mengadakan siri Imam al-Ghazali bagi penerbitan karya Imam al-Ghazali dan siri warisan Islami yang memberi tumpuan kepada kitab turath seperti 40 Hadis Imam Nawawi, Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir al-Jalalain.
“Semua kitab warisan ini diterjemahkan ke bahasa Melayu untuk memberi akses kepada masyarakat membaca warisan Is lam ini dengan lebih mudah,” katanya yang juga Ketua Pengarang IBDE ILHAM Sdn Bhd.
Jelas beliau, IBDE menyediakan tiga judul kitab tumpuan FTIS 2025 iaitu Dalail al-Khairat, Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir al-Jalalain. Dalail al-Khairat berisi doa dan selawat dihimpunkan ulama tasawuf besar Maghribi, iaitu Imam Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli.
“Himpunan doa dan selawat ini ada kaedah pembacaannya mengikut hizb atau hari yang boleh diamalkan. Dalam FTIS 2025, Dalail al-Khairat dijadualkan bacaannya setiap pagi. Yang kedua, kitab Pengantar Ilmu Tafsir karangan Imam Jalaluddin as-Suyuti.
“Sebenarnya kitab ini adalah bahagian ‘Ilm at-Tafsir daripada kitab Itmam ad-Dirayah li Qurra’ an-Nuqayah. Ia pengenalan kepada ilmu tafsir al-Quran. Ringkas dan mudah difahami, kitab ini bukan mengajar untuk mentafsir tetapi apa itu ilmu tafsir.
“Yang ketiga, Tafsir al-Jalalain yang menjadi isi utama daurah. Ada tujuh surah diketengahkan daripada Tafsir al-Jalalain ini, iaitu surah lazim dibaca orang ramai seperti al-Fatihah, Yasin dan al-Kahfi.

Berita Harian merupakan sebahagian daripada kumpulan Media Prima Berhad. Sebagai akhbar arus perdana berbahasa Melayu yang telah wujud sejak 1957, Berita Harian kini beroperasi di bawah Media Prima News & Editorial Operations (MPB News), iaitu cabang berita cetak dan digital milik Media Prima.