SHAH ALAM: Festival Turath Islami Selangor Tahun (FTIS) 2025 yang bermula hari ini sehingga 20 Julai akan menampilkan 18 tokoh ilmuwan Islam dan ulama terkemuka dari Asia Barat dan Nusantara seperti Prof Emeritus Dr Sheikh Abdel Fattah Abdel Ghany Al-Awari (Mesir), Sheikh Dr Mohammad Akram Nadwi (India/UK) dan Dr Adi Hidayat (Indonesia).
Tokoh terkemuka itu akan mengupas Kitab Dalail al-Khairat, yang menghimpunkan doa dan selawat kepada Nabi Muhammad, selain dua lagi kitab yang akan dihurai iaitu Pengantar Ilmu Tafsir dan Tafsir Al-Jalalain.
Penganjuran kali ketiga ini akan berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, dengan sebanyak tiga sesi pengajian dijalankan setiap hari bermula jam 9 pagi, manakala sesi petang antara jam 4.45 petang hingga 8.45 malam.

Pengerusi Sekretariat Turath Islami Selangor, Ammar Gazali, berkata FTIS 2025 menggariskan empat teras utama iaitu mengangkat Kitab Turath sebagai khazanah intelektual Islam dan warisan berharga, manakala teras kedua menyuburkan kaedah talaqqi, iaitu pengajian secara langsung dengan guru secara menadah kitab.
“Teras ketiga adalah memasyarakatkan ilmu melalui aktiviti kerohanian seperti bacaan Dalail al-Khairat, selawat, qasidah dan teras keempat marhaban serta memupuk nilai-nilai keilmuan melalui penganjuran Festival Buku Islami 2025 dan Pameran Al-Wahyu,” katanya ketika ditemui semalam.
Ammar berkata, pengisian baharu yang akan ditonjolkan pada FTIS 2025 adalah Daurah Surah Pilihan Tafsir al-Jalalain iaitu mentafsir tujuh surah pilihan seperti al-Fatihah, Yaasiin, al-Waqi’ah, al-Rahman, al-Mulk, al-Kahfi dan al-Hujurat.
“Sesi pengajian tujuh surah pilihan akan berlangsung selama enam hari dalam 17 sesi bermula 13 Julai. Sesi pengajian ini menggunakan kitab Tafsir al-Jalalain karya Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Imam Jalaluddin as-Suyuti yang diterjemah dan diterbitkan oleh IBDE.
“Pada tahun ini, tema FTIS 2025 adalah Tafsir Al-Quran sejajar dengan projek kerajaan negeri iaitu projek penterjemahan. Jadi bila kita sebut tentang Tafsir Al-Quran, fokus kita adalah kepada kitab Tafsir Al-Jalalain.
“Kitab ini menjadikan asas untuk ulama yang hadir ke sini membuat kupasan. Ulama yang dijemput akan membahaskan pengenalan dengan ilmu tafsir dan diikuti dengan surah-surah berkenaan. Dengan cara ini, kita akan memahami dengan lebih mendalam mengenai surah yang kita sedia maklum ramai membacanya,” katanya.
Beliau menjelaskan, pada festival kali ini Festival Buku Islami (FBI) 2025 akan dianjurkan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 17 hingga 20 Julai depan dengan penyertaan 30 penerbit buku Islam.
“FBI ini bakal menghidupkan semula budaya membaca dan memperkukuh kecintaan terhadap ilmu dalam kalangan masyarakat, malah bukan sekadar medan jual beli buku, malah menjadi wadah pertemuan antara penulis, penerbit, pencinta buku, dan seluruh warga yang dahagakan santapan rohani serta intelektual.
“Acara berprestij ini menghimpunkan penerbit buku-buku Islam terbaik dari seluruh Malaysia. Mereka komited menerbitkan karya bermutu tinggi yang merangkumi kitab turath, tafsir, akidah, sirah, tarbiah, serta buku-buku kontemporari yang berakar pada nilai-nilai Islam.
“Festival ini turut menjadi platform istimewa untuk meneroka pelbagai judul yang jarang ditemui di pasaran umum, termasuk karya agung seperti Tafsir Jalalain, Pengantar Ilmu Tafsir dan Dalail al-Khairat iaitu kitab utama yang turut diketengahkan dalam FTIS tahun ini,” katanya.
Selain itu katanya, bermula hari ini sehingga 20 Julai nanti, Bazar Turath turut diadakan di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, manakala pada malam 19 dan 20 Julai pula akan diadakan Darul Ehsan Berselawat sempena FTIS 2025.
Beliau berkata, setakat ini kira-kira 2,500 penyertaan sudah diterima dan peserta bukan sahaja sekitar Lembah Klang, guru serta pelajar sekolah agama, pengajian Islam dan komuniti pondok seluruh negara dijemput seperti dari Kedah dan juga Kelantan.
“Besar harapan kami agar lebih ramai umat Islam mendaftarkan diri dan hadir ke festival ini, kita turut menjemput pelajar sekolah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), sekolah agama, juga maahad tahfiz untuk bersama menghadiri festival seperti ini.

Berita Harian merupakan sebahagian daripada kumpulan Media Prima Berhad. Sebagai akhbar arus perdana berbahasa Melayu yang telah wujud sejak 1957, Berita Harian kini beroperasi di bawah Media Prima News & Editorial Operations (MPB News), iaitu cabang berita cetak dan digital milik Media Prima.