SHAH ALAM, 10 JULAI: Pameran Al-Wahyu: Funduq sempena Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025 dirasmikan hari ini selepas dibuka kepada umum sejak 5 Julai lalu.
Perasmian bertemakan “Funduq: Legasi Kebitaraan Alam Melayu” disempurnakan oleh EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Najwan Halimi.

Pameran itu mengetengahkan sejarah, ciri dan perkembangan sistem pendidikan tradisional pondok dan pesantren yang wujud di Malaysia, Indonesia, selatan Thailand, Singapura dan Brunei.
Turut dipamerkan replika sekolah pondok di Malaysia serta koleksi foto kitab turath tulisan tangan berusia lebih 100 tahun daripada Pondok Pesantren Langitan di Surabaya, Indonesia.
Sejarah hidup dan foto tokoh ulama kelahiran sekolah pondok dan pesantren antaranya Sheikh Abdul Rauf Singkil, Abdurrahman Wahid (Gus Dur), Sheikh Abdul Malek Abdullah (Tok Pulau Manis), Tok Kenali dan Dato’ Dr Haron Din turut dipamerkan.

Selepas merasmikan pameran itu, Najwan meluangkan masa lebih 15 minit mendengar penerangan daripada kurator, Ts Dr Ros Mahwati Ahmad Zakaria.
Beliau turut menonton video kajian lapangan pasukan penyelidik diketuai Dr Ros Mahwati ke tiga pondok pesantren utama di Surabaya, Indonesia pada 2 hingga 5 Jun lalu.
Pameran dibuka kepada orang ramai dari 9 pagi hingga 9 malam di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor sehingga 20 Julai.

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.