Pelancaran Naskhah Baharu IBDE Muhaddisat: Wanita Periwayat Hadis

Shah Alam – Majlis Perasmian Festival Buku Islami 2025 yang berlangsung pada Khamis menyaksikan pelancaran naskhah terbaharu terbitan Institut Buku Darul Ehsan (IBDE) bertajuk Muhaddisat: Wanita Periwayat Hadis karya sarjana Muslim tersohor di United Kingdom, Sheikh Dr. Mohammad Akram Nadwi.

Pelancaran buku berkenaan telah disempurnakan oleh Nurul Izzah Anwar bertempat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Buku tersebut memuatkan 10 bab utama yang memperincikan sumbangan tokoh ilmuwan wanita yang pernah berdiri di barisan hadapan dalam penyebaran ilmu hadis,

Selain itu, penulisannya turut membahaskan mengenai peraturan meriwayatkan hadis, penuntut dan pelajar hadis dalam kalangan wanita, serta konteks sosial dan budaya yang melatari pelibatan wanita dalam pengajian hadis.

Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapan perasmiannya berkata, buku tersebut merupakan terjemahan versi bahasa Melayu bagi karya asal beliau berjudul al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam, iaitu naskhah pengenalan kepada karya agung al-Wafa bi Asma al-Nisa yang terdiri daripada 43 jilid.

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

“Naskhah pengenalan ini dimulakan oleh kami di IBDE dan selepas ini kita berharap dapat menyempurnakan kesemua 43 jilid seperti yang dijanjikan,” ujar beliau.

Menurut beliau, buku tersebut amat signifikan kerana penulisannya memberikan penjelasan yang tuntas dan bersifat konseptual tentang Islam dan peranan wanita, khususnya dalam bidang perawian hadis.

Jelas beliau, karya itu juga menjadi peringatan tentang peranan wanita dalam masyarakat, keluarga dan kehidupan secara umum sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang mengangkat martabat golongan wanita.

“Perkara ini merupakan satu tradisi keilmuan dan ingatan yang sangat besar, sekali gus memperlihatkan peranan wanita dalam kehidupan dunia serta menjadi satu daripada pelengkap selepas kematian kita,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa Pesta Buku Islami 2025 diadakan buat julung-julung kalinya sebagai pengisian baharu dalam usaha merancakkan kegiatan dalam Festival Turath Islami Selangor pada tahun ini.

Kata beliau, cetusan penganjuran program tersebut lahir daripada kesedaran dan keperluan masyarakat untuk memperkaya dan memperbanyak karya dalam bahasa Melayu.

Lantaran itu, kerajaan negeri telah melancarkan sebuah inisiatif yang dikenali sebagai Siri Pencerahan Rakyat sejak sembilan tahun yang lalu.

“Siri Pencerahan Rakyat ini bermula dengan program penterjemahan buku dan karya agung daripada pelbagai disiplin ilmu sama ada tokoh, pemikiran dan karya,” katanya.

“Pada hari ini, kita berasa beruntung kerana kali pertama penganjuran Pesta Buku Islami 2025 hingga 20 Julai nanti, lebih 1,000 judul buku dipamerkan dengan penyertaan 30 pempamer yang hadir untuk menjual karya terbitan yang telah dihasilkan.

Sementara itu, antara pengisian menarik sepanjang Pesta Buku Islami 2025 termasuklah pasaran buku terpilih, bazar turath, sembang buku, syarahan dan bengkel keilmuan.


Jendela DBP merupakan pelantar penerbitan digital rasmi yang dibangunkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai inisiatif transformasi digital untuk memperluas capaian bahan terbitannya. Sebagai sebuah jabatan kerajaan yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 bagi memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu, DBP kini memanfaatkan teknologi digital melalui Jendela DBP untuk menawarkan akses mudah kepada e-buku, jurnal, dan pelbagai kandungan ilmiah.