PETALING JAYA, 20 JULAI: Kerajaan Negeri memperuntukan dana RM3 juta untuk menubuhkan Pusat Pengembangan Turath Nusantara Selangor (PETUNAS).
Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) negeri Dato’ Johary Anuar berkata pusat tersebut memperkukuhkan usaha mengembangkan pengajian kitab selain memastikan pegangan Ahli Sunah Waljamaah terus subur di Selangor.
“PETUNAS dibangunkan di kawasan tapak bekas Kompleks Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya. Penubuhannya hasil usaha pentadbiran negeri mengumpul khazanah ilmu dalam mendepani cabaran dan kekeliruan berkaitan Islam di zaman moden.
“Saya percaya dengan penubuhan pusat ini gerakan kita mengembangkan kitab turath yang warisan ilmu Islam dan khazanah yang sangat bernilai. Pengajian kitab ulama silam perlu digilap dan diangkat sebagai pedoman kita semua,” katanya.
Berucap pada majlis perasmian, Johary turut merakam penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor atas segala usaha membina pusat itu mengikut jadual yang ditetapkan.
“UPEN membentang kertas kerja cadangan pembangunan pada Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Kemudian, Jabatan Kehakiman Syariah meluluskan pembinaan pusat ini di tapak bekas Kompleks Mahkamah Rendah Syariah di Petaling Jaya.
“Melalui sokongan JKR Selangor, pembangunan berjaya disiapkan pada bulan ini sempena penganjuran Festival Turath Islami Selangor yang sedang berlangsung dalam tempoh tiga bulan sejak April,” katanya lagi.


Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.